Penyanyi Black, 28, menegaskan tidak akan berkongsi wajah penuh bayinya, Khaleef Dayyan bagi menjaga privasi serta memastikan anak lelakinya itu membesar secara normal.
Bercakap kepada sebuah media tempatan, pemilik nama penuh Hanifah Md Hanafiah ini berkata, keputusan berkenaan diambil agar anaknya tidak terkena tempias dengan kerjayanya sebagai penyanyi.
Khaleef Dayyan merupakan anak sulung hasil perkahwinan penyanyi lagu Mana Mungkin itu dengan Cira atau Naquia Yasirah Mohd Khairi, 30.
Sementara berkongsi pengalamannya sebagai seorang bapa, kata Black, ia satu pengalaman yang begitu berharga serta sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Perubahan paling ketara, dia sukar mahu berjauhan dan sentiasa ingin cepat pulang dari kerja untuk melihat wajah anak.
"Saya sekarang ini kalau boleh hendak cepat pulang untuk melihat wajah anak. Awal-awal dulu tak terasa sangat namun apabila anak semakin besar ini lagi rindu dibuatnya.
"Masa sekarang semuanya adalah milik anak yang mana kalau keluar membeli belah pun semuanya untuk anak.
"Kalau ada 'show' pun saya akan balik kerana susah hendak berjauhan dengan anak," katanya.