Sarimah Gementar Kahwin, Teruja Bergelar Ibu



Kurang dua minggu lagi pengacara dan selebriti popular, Sarimah Ibrahim akan kembali bergelar isteri.

Seperti bakal pengantin lain, perasaan teruja, gembira bercampur gementar dirasai wanita berusia 37 tahun ini.

Namun, perkahwinan kali keduanya ini membuatkan dia berasa lebih berdebar kerana majlis hari bahagianya itu akan diadakan dengan penuh adat dan protokol.

"Alhamdulillah lagi 14 hari. Berdebar tetapi persiapan sudah 90 peratus siap.

"Saya sendiri secara peribadi sudah bersedia. Cuma kali ini majlis penuh protokol, jadi saya rasa lebih gementar," katanya kepada media tempatan ketika ditemui pada sidang media khas pengumumannya sebagai pengantara baharu program bual bicara Bella, di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor, semalam.

Sarimah bakal melangsungkan perkahwinan dengan cucu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar (Tunku Jamie) pada 2 April ini dalam sebuah majlis yang akan diadakan di Hotel Prince, Kuala Lumpur.


Pasangan ini bertunang pada 27 September tahun lalu selepas perkenalan selama sembilan bulan.

Terdahulu, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kini Kau Tiada ini pernah berkahwin dengan jejaka Australia, Amir Andrew Abdullah pada 2006 tetapi bercerai pada penghujung Disember 2008.

Jamie pula yang berstatus duda tanpa anak juga pernah berkahwin dan sudah bergelar solo ketika bertemu selebriti berkenaan 13 bulan lalu.

Dalam pada itu, Sarimah menayatakan dia masih lagi dalam proses belajar menyesuaikan diri menjadi sebahagian daripada keluarga dalam kalangan kerabat Diraja.

Mujur dia tidak terlalu kekok melalui rutin protokol kerana cara itu bukan sesuatu yang terlalu luar biasa padanya.

"Setakat ini, saya okay dengan semua keluarga dia (Jamie). Sebenarnya, selama jadi pengacara saya seringkali terlibat dengan majlis protokol dan kita sudah faham tentang tatatertib iaitu apa yang boleh serta apa yang tidak boleh.

"Namun, sebenarnya apabila saya bersama dengan keluarganya seperti di rumah dan mereka menjalani kehidupan macam biasa.

"Cuma, pada majlis tertentu dan di hadapan khalayak saja kami perlu ikut protokol. Apabila di rumah, tiada protokol tetapi masih ada garis panduan yang perlu dipatuhi

"Mula-mula itu saya takutjika buat silap semasa bercakap atau berada dalam kalangan mereka.

"Bakal suami banyak ajar saya cara untuk bergaul dengan mereka. Kalau ada yang tidak betul, dia akan tegur dan tunjukan cara yang betul," katanya yang juga mendedahkan kini banyak membaca buku-buku tentang keibubapaan sebagai persediaan bergelar ibu, kelak.

Jamie Tak Boleh Berahsia

Memandangkan ini perkahwianan keduanya, Sarimah menyatakan pengalaman lalu juga banyak mengajarnya sekaligus menjadikan dia sekarang lebih matang dan tahu menguruskan kehidupan.

Malah, mereka juga berpengang pada prinsip tidak boleh berahsia.

"Kami berdua pernah ada pengalaman berkahwin sebelum ini. Pengalaman lalu buat saya lebih matang.

"Saya dengan dia selalu berbincang tentang kehidupan dan bagaiamana untuk kami lalui masa-masa akan datang. Sejujurnya, saya ada rasa takut dan bimbang terhadap pengalaman lalu.

"Seperkara yang saya belajar dari kesilapan lalu ialah perlu berwaspada tetapi kalau kita terlalu berwaspada, kita akan menghalang orang lain kenal diri kita.

"Begitu juga kalau kita tidak berwaspada, mungkin dalam kita tidak sedar sehingga akan dilukai.

"Jadi, saya dan bakal suami memengang pada prinsip tidak boleh ada rahsia antara kami. Jamie susah hendak bercakap dan lebih banyak berdiam.

"Apabila saya bertanya dan dia menjawab, ia membuatkan kami lagi saling memahami," katanya sambil berharap perkahwinan kali ini berkekalan selamanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »