Miera Leyana Rasa Tak Adil Dituduh Tidak Berdisiplin



Pelakon Miera Leyana menganggap tuduhan kononnya dia tidak berdisiplin ketika menjayakan penggambaran sebuah drama bersiri mampu mencalarkan imejnya sebagai seorang artis.

Memetik kenyataan di mStar online, Miera berkata, dakwaan berkenaan tidak adil buat dirinya kerana ia mampu memberi impak terhadap kerjayanya sekiranya ia dibaca oleh penerbit atau produksi lain tanpa mengetahui kisah sebenar.

Katanya, selama ini dia tidak ambil hati jika ada cerita gosip mengenai dirinya ditulis tetapi apabila ia melibatkan soal kerja, dia menyifatkan gosip itu melampau dan tidak adil tanpa bertanya sendiri kepada dirinya terlebih dahulu.

"Ini adalah periuk nasi saya, bayangkan kalau ada penerbit atau produksi membaca cerita itu sudah pasti pandangan mereka terhadap saya berubah walaupun saya tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya mengulas mengenai gosip kononnya dia sering datang lewat dan menimbulkan masalah selain memberikan pelbagai alasan tidak munasabah ketika menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.

Tambahnya, sekiranya benar dia bersikap sedemikian dia yakin kerjaya lakonannya sudah lama terkubur dan dia pertama kali mendengar dakwaan seperti itu.

Dalam pada itu, Miera mengakui dia tidak menghadiri satu sesi fotografi bersama barisan pelakon drama berkenaan dan masalah alahan pada kulit menjadi punca kepada perkara itu.

Bagaimanapun kata Miera, dia terlebih dahulu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak produksi dan mereka memahami situasinya dan membenarkannya tidak hadir pada sesi fotografi itu.

"Saya bukan cuba cipta alasan tetapi kulit wajah saya memang tengah teruk ketika itu dan pihak produksi juga mengetahui mengenainya dan membenarkan saya menarik diri daripada sesi fotografi berkenaan.

"Sekarang lain pula ceritanya kononnya saya sengaja mencipta alasan walhal mereka tahu perkara sebenarnya. Sekiranya mereka tetap mahu saya pergi ke sesi fotografi itu, saya pasti datang," katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »