Sharifah Sakinah dan Alif Adha Selamat Diijabkabul



Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Sharifah Sakinah dan Aliff Adha sah bergelar suami isteri dalam sebuah majlis yang diadakan di taman Hotel Shangri-La, Putrajaya pada jam 5.56 petang sebentar tadi.

Dinikahkan oleh ayah Sakinah, Syed Abu Bakar, Sakinah kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden rekaan pereka fesyen terkemuka Nurita Harith.

Diacarakan oleh Sharifah Shahirah, kakak kepada Sakinah itu menjemput rombongan lelaki masuk ke ruang pernikahan terlebih dahulu sebelum memberi laluan kepada rombongan sebelah perempuan.

Sementara menunggu kedua-dua mempelai disatukan, tetamu didendangkan dengan bacaan selawat oleh kumpulan Al-Maulid Sri Haqqani.

Sebaik sahaja tetamu mengambil tempat masing-masing, Aliff berjalan ke tengah-tengah kawasan taman dan duduk di meja pernikahan berhadapan dengan ayah Sakinah dan Ustaz Fairuz Suhari dan saksi.

Diiringi dengan dulang girls yang membawa hantaran, Sakinah kemudian dijemput untuk duduk di atas pelamin yang direka khas oleh Adi Putra Décor menggunakan konsep taman.

Pada majlis tersebut, Sakinah menerima sebanyak tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki. Uniknya, kesemua tujuh dulang itu mengandungi tujuh pasang kasut berjenama Adidas dengan rekaan yang berbeza.

Manakala, Sakinah membalas sebanyak sembilan dulang hantaran berupa sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, tali pinggang, seutas jam tangan dan sepasang kasut bola.

Majlis diteruskan dengan lafaz akad yang disempurnakan oleh ayah Sakinah. Setelah selesai, bacaan doa diketuai oleh Ustaz Fairuz Suhari.

Kemudian, Aliff dijemput ke pelamin untuk upacara batal air sembahyang sambil menyarungkan cincin ke jari Sakinah. Dalam masa yang sama, Sakinah turut menyarung cincin ke jari Aliff.



Ditanya mengenai perasaan masing-masing, Sakinah berkata,

"Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya berasa gembira kerana akhirnya bergelar isteri kepada Aliff, lebih-lebih lagi apabila ayah saya sendiri yang menikahkan saya," katanya.

Sementara itu Aliff pula berkata,

“Saya rasa bersyukur kerana segalanya berjalan lancar. Terima kasih kepada keluarga dan keluarga mertua yang hadir pada petang ini,” ujarnya.

Menginspirasikan tema ala taman (garden wedding), kedua-dua mempelai dan tetamu yang hadir mengenakan busana berona putih. Tetamu turut disediakan dengan sekaki payung jernih dan kipas tangan yang juga berwarna putih.

Keluarga terdekat Sakinah yang hadir, Puan Sharifah Zubaidah (ibu), Syed Abu Bakar (bapa), Sharifah Shahira (kakak) dan Lynn Al-Khaired (kakak) dan suami, Datuk Seri Ryzal Merican.

Keluarga terdekat Aliff yang hadir, Laksmana Madya Datuk Jamil Osman (bapa) dan Datin Rodzi Abdullah (ibu) serta ahli keluarga yang lain.

Juga memeriahkan majlis pernikahan tersebut rakan-rakan artis yang turut bertindak sebagai 'dulang girls'. Mereka adalah Marsha Milan, Anzalna Nasir, Elfira Loy, Siti Saleha, Sherry Al Hadad, Nabila Huda, Liza Abdul, Nad Zainal dan Tasha Shila.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »