Tampil dengan imej berhijab selepas pulang daripada mengerjakan umrah baru-baru ini, Rozita Che Wan akui bahawa terdapat perubahan ketara selepas dia mula berhijrah sepenuhnya. Apa yang dimaksudkan dengan perubahan tersebut ialah mengenai rezeki.
Semua bermula dengan peningkatan jualan tudung dengan jenamanya sendiri sehinggalah ditawar menjadi ikon sebuah festival Islamik bertaraf antarabangsa yang bakal diadakan tidak lama lagi, Che Ta sangat bersyukur dengan situasi tersebut.
“Alhamdulillah. Nampaknya, rezeki kita murah semenjak kita bertudung. Sebenarnya, sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah lagi, kita dah terfikir untuk bertudung. Alhamdulillah hidayah untuk bertudung semakin kuat semasa di Tanah Suci Mekah”
“Mungkin juga berkat doa daripada suami kita jadi hati kita pun tetap dengan keputusan untuk berhijab sepenuhnya,” jelasnya dalam satu temu ramah eksklusif bersama Mangga Online baru-baru ini.
Menunaikan umrah kali ketujuh baru-baru ini, ia juga merupakan pengalaman pertama menunaikan umrah buat suami tercinta. Menurut Che Ta, dia menunaikan umrah kali ini adalah bagi memenuhi nazar jika mengandung.