Suspek Curi Tabung Derma Di Kedai Jeruk Pak Ali Dikenal Pasti



BUTTERWORTH: Polis telah mengenal pasti lelaki yang dipercayai mencuri dua buah tabung derma anak yatim dan madrasah tahfiz yang diletakkan di pusat jualan Jeruk Madu Pak Ali, di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supt Mohd Mustafa Bidin berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis perniagaan itu pihaknya telah berjaya mengesan identiti lelaki berusia lingkungan 40-an berkenaan.

"Kami telah mendapat maklumat berhubung lelaki itu dan telah pergi ke rumahnya di sini (Butterworth) semalam bagaimanapun dia tiada (di rumah) dan dipercayai menyembunyikan diri kerana tahu sedang dikesan polis," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu mungkin terlibat dalam beberapa lagi kes curi tabung derma yang diletakkan di kedai-kedai.

"Setakat ini kami menerima satu laporan polis sahaja dari pusat jualan Jeruk Madu Pak Ali itu tetapi kalau tengok pada rakaman CCTV yang viral sejak Khamis itu lelaki itu mungkin terlibat beberapa kes lagi kerana dia seperti mahir untuk mencuri tabung derma berkenaan," katanya.

Mohd Mustafa berkata, terdapat kira-kira RM500 dalam dua tabung derma yang hilang itu. - Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »