PETALING JAYA: Pelakon filem Ngangkung, Putri Mardiana Zainal Abidin enggan mengulas mengenai dakwaan ditangkap khalwat buat kali kedua bersama teman lelakinya, Shahrizam Abdullah pada pagi Sabtu lalu.
Putri Mardiana atau lebih mesra dengan sapaan Nina, 33, tidak menjawab panggilan yang dibuat kepadanya sebanyak beberapa kali sebelum menghantar mesej di aplikasi Whatsapp memberitahu dia tidak mempunyai sebarang komen.
"Tiada komen," katanya ringkas kepada mStar Online pada Ahad.
Pasangan itu didakwa dicekup oleh pihak berkuasa kira-kira pukul 4 pagi di kediaman milik isterinya Shahrizam atau E-Jump di USJ 1, Subang Jaya di sini.
Malah wanita yang dikenali sebagai Nor Hasni Md Hashim itu turut mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.
Terdahulu, pasangan berkenaan pertama kali diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Disember tahun lalu di sebuah kondominium dekat Ukay Perdana, Ampang dalam satu siri serbuan Bahagian Penguatkuasaan Jais berdasarkan maklumat orang awam.
Nina yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata ketika itu mendakwa serbuan tersebut sengaja dirancang oleh bekas teman lelakinya dan isteri Shahrizam dengan tujuan untuk memalukannya.
Sumber : Mstar