KUALA LUMPUR: Pengarah drama Michael Ang pasti penonton tidak akan memberi persepsi negatif terhadap karya terbaharunya iaitu Racun Menantu yang mempunyai sedikit adegan kemban lakonan Sharifah Sakinah.
Michael berkata, pengarahan dalam karya berkenaan yang menuntut Sharifah Sakinah beraksi ghairah ketika berkemban itu sekadar mahu menyampaikan cerita mengenai watak Sara yang cuba menggoda lelaki-lelaki yang dibencinya.
"Memang ada unsur ghairah tetapi tidaklah keterlaluan. Ia nampak ghairah kerana Sakinah berkemban dan selebihnya dia lakonkan adegan yang mahu menggoda beberapa lelaki tanpa menunjukkan apa-apa aksi keterlaluan pun.
"Saya percaya penonton zaman sekarang mampu berfikir secara bijak apabila menonton sesebuah karya itu," katanya.
Michael ditemui pada majlis pelancaran tiga supertelefilem siaran Astro Box Office Movies iaitu Lai Krathong, Racun Menantu dan Penunggu Bayang di Hard Rock Cafe di sini pada Jumaat.
sharifah sakinah
Sharifah Sakinah
Ketiga-tiga supertelefilem itu merupakan terbitan Dark Wave Productions Sdn Bhd.
Racun Menantu memaparkan penderitaan seorang kanak-kanak iaitu Sara yang diculik dan kemudiannya dipaksa menjadi pelacur.
Apabila dewasa, Sara membalas dendam terhadap lelaki yang mersokkannya.
Karya yang menampilkan pelakon Zaidi Omar, Izreen Azminda, Helmi Moin dan Sakinah itu akan ditayangkan pada 6 Ogos depan.
Dalam pada itu Penunggu Bayang yang juga karya Michael lakonan Hairul Azreen akan ditayangkan pada 23 Julai.
Sementara itu dalam perkembangan yang sama karya pengarah Zul Huzaimi pula dapat disaksikan menerusi Lai Krathong yang mengisahkan mengenai cinta mendalam Che Yem (Zul) dan Su Fei (Dora Arina).
Perasaan cinta Che Yem tidak dapat dilupakan selepas kematian Su Fei sehingga dia sanggup melakukan perbuatan syirik menghidupkan semula kekasihnya itu.
"Saya tidak pernah melihat hantu di depan mata tetapi saya percaya adanya jin yang menganggu fikiran manusia.
"Jadi saya menghasilkan cerita ini berdasarkan pengamatan saya bahawa manusia suka taksub dengan sesuatu perkara sehingga sanggup melakukan perkara-perkara syirik.
"Jadi saya yakin kisah ini mampu memberi pengajaran kepada penonton," ujar Zul Huzaimi.
Lai Krathong akan ditayangkan pada 18 Jun ini.
Antara pelakon lain yang turut terlibat termasuklah Ruminah Sidek, Roy Azman, Shahrizal Jaszle, Elfira Loy dan Guntur Triyoga.
Ketiga-tiga supertelefilem tersebut ditayangkan di Astro Box Office Movies menerusi saluran 130 bermula pukul 10 malam.
Sumber : MStar