KUALA LUMPUR : Pelakon, Amyra Rosli mengakui dirinya menitiskan air mata terutama dalam hal yang membabitkan keluarga.
Justeru, gadis berusia 24 tahun itu berkata adalah tidak sukar untuk dia melakonkan watak yang memerlukannya menangis kerana dia mampu meletakkan diri dalam watak yang dijayakan.
"Saya adalah seorang yang cengeng, iaitu mudah untuk mengalirkan air mata. Malah lagi senang menangis jika hal yang melibatkan keluarga. Salah satu teknik yang diajar adalah dengan meletakkan diri ke dalam karakter itu.
"Cermin adalah teman baik saya kerana banyak mempelajari mimik muka dengan cermin. Saya sedikit sebanyak mempraktikkan apa yang diajar ketika di ASWARA dulu," kata Amyra kepada BH Online baru-baru ini.
Sementara itu, duta produk kecantikan Aura White itu berkata, statusnya sebagai artis menjadikan dirinya begitu peka dengan penambahan berat badan serta perubahan dirinya walaupun tidak secara drastik.
"Sebenarnya berat badan ideal saya adalah 45kg hingga 52kg. Saya sudah selesa dengan berat 45kg tetapi baru-baru ini tanpa saya sedari sudah mencecah 48kg dan ianya membuatkan badan saya tidak selesa.
"Memang jika diikutkan ia bukanlah satu masalah besar namun apabila berada dalam bidang seni, perihal sebegini perlu dititik beratkan. Tambahan pula jika sesi fotografi dan dalam televisyen akan menampakkan diri lebih besar dari biasa," kata Amyra.
Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Suamiku Encik Sotong itu berkata, dia mengamalkan minum air suam dengan lemon setiap hari untuk membuang kotoran serta menjaga pemakanan kerana tidak mempunyai masa untuk bersenam.
Sumber : BHOnline