Saya kehilangan, rindui 'Boboi' - Afdlin Shauki



KUALA LUMPUR: Berita pemergian Allahyarham Harun Salim Bachik semalam amat mengejutkan rakan baiknya, Afdlin Shauki yang nyata terkesan dengan pemergian sahabat gandingannya yang sangat sinonim dengan karektor popular "Boboi' itu.

Lebih mengejutkan kerana Afdlin baru saja berjumpa Harun pada Jumaat lalu dan kedua-duanya sempat bergurau seperti pertemuan sebelum ini apabila kedua-duanya amat rapat.

Afdlin berkata, ketika dimaklumkan mengenai perkhabaran menyedihkan itu beliau sedang mengikuti satu seminar di ibu negara.

"Saya dimaklumkan berita kematian Harun ketika sedang berada di dalam satu seminar. Saya terus hilang fokus dan bergegas keluar untuk ke rumah Harun bagi menunggu jenazahnya.

"Kami sebenarnya baru saja berjumpa Jumaat lepas, malah saya sempat bertepuk, bertampar dan bergurau dengan dia. Malah, Harun turut melahirkan rasa gembiranya mengenai projek terbaharu kami di Istana Budaya nanti," kata Afdlin kepada BH Online.

Penyertaan Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik) dalam Maharaja Lawak Mega 2011 cukup menggelikan kerana watak dua beradik tetapi berlainan ibu yang dipaparkan mereka.

Pengarah dan pelakon itu berkata, mereka juga berbincang mengenai hala tuju Boboi untuk terus berkembang di masa akan datang dan beliau akan cuba memastikan agar segala-gala yang dirancang berjaya dilaksanakan.

"Saya turut berbincang dengan Harun mengenai keputusan untuk tidak lagi tampil sebagai watak Datin Maimon setelah mendapat nasihat daripada Mufti Perak. Insya-Allah apa yang kami rancangkan akan cuba saya laksanakan," kata Afdlin.

Afdlin berkata, mereka berdua sebenarnya berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 19 Mei serta mempunyai matlamat hidup sama iaitu untuk memartabatkan bidang komedi.

"Dia begitu istimewa kerana adalah seorang pelawak yang genius. Dia bertahan sehingga empat dekad serta masih lagi relevan dan menjadi pilihan penerbit tempatan.

"Semangat yang dimiliki oleh Harun untuk memartabatkan bidang komedi sama seperti semangat saya kerana kami berdua memperjuangkan komedi yang berisi dan bukan lawak 'bodoh' semata-mata.

"Saya sudah merindui dia kerana dia memang seorang yang baik," kata Afdlin mengakhiri perbualan.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »