Ammar atau nama sebenarnya, Ammar Alfian Aziz, 28, berkata, dia terkejut bagaimana perkara yang sudah lapan tahun terjadi itu timbul sekali lagi sedangkan dia sudah pun memberi penjelasan berhubung perkara itu sebelum ini.
"Saya harap orang ramai tidak sebarkan gambar-gambar itu lagi kerana ia diambil ketika usia saya 19 tahun dan saya akui ia kesilapan saya yang tidak matang lagi waktu itu.
"Perkara ini sudah pernah jadi kontroversi sewaktu saya masuk dalam industri seni dan saya pun sudah beri penjelasan mengenainya," ujarnya.
Ammar berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan sebuah akhbar tempatan mengenai penyebaran gambarnya bersama seorang wanita dalam keadaan agak seksi.
Laporan yang tidak menyatakan nama artis itu memetik rungutan seorang pegawai kerajaan yang terkejut selepas menerima imej gambar berkenaan menerusi aplikasi mesej WhatsApp miliknya.
Dalam pada itu, Ammar berkata, dia sendiri sudah menyesali perbuatan tersebut dan sedang dalam proses untuk membersihkan namanya daripada persepsi negatif masyarakat.
"Usahlah ungkit perkara lama dan saya sudah tidak buat lagi perkara begitu. Sekarang fokus saya untuk bersihkan nama dan bersaing dalam industri hiburan ini secara sihat," ujarnya.
Sementara itu, Ammar berkata, dia bakal keluar dengan drama terbaharu berjudul Nasuha pada 10 Februari ini di TV9 terbitan Zeel Productions.
Ammar berkata, dia terpaksa menurunkan berat badan bagi menyesuaikan dengan wataknya dalam drama ini.
"Alhamdulillah kerjaya lakonan saya semakin baik dan drama terbaru saya berjudul Nasuha akan disiarkan pada 10 Februari ini.
"Untuk drama ini pengarah menyuruh saya menurunkan berat badan sedikit daripada 80 ke 70 kilogram kerana mereka kata badan saya terlalu besar," ujarnya ~ Mstar