Mayat lelaki terjun kapal persiaran ditemui



GEORGETOWN: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan terjun dari kapal persiaran Star Cruise MV Super Star Libra, dekat sini Jumaat lepas, ditemui, petang semalam.

Mayat warga Indonesia, Mulianto Raik, 50, ditemui pada kedudukan 19 batu nautika barat Muka Head, dekat sini oleh bot nelayan tempatan.



Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Kapten Kamaruszaman Abu Hassan berkata mayat mangsa dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Teluk Bahang, dekat sini sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada 13 Mac lepas selepas menerima laporan daripada kapten kapal berkenaan yang memaklumkan mangsa telah terjun dari dek kapal pada kedudukan lapan batu nautika utara Muka Head menerusi kamera litar tertutup kapal itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak kapal berkenaan menjumpai kad pengenalan mangsa semasa rondaan keselamatan selepas kapal itu berlabuh di jeti Sweetenham Pier, di sini.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Kamaruszaman turut mengingatkan komuniti maritim agar memaklumkan sebarang aktiviti jenayah di laut dengan membuat aduan di talian kecemasan 999 (MERS 999).

Sumber : BHOnline

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »