Tasha Shilla Mohon Maaf, Akui Mahu Jadi Diri Sendiri



Baru-baru ini, Tasha Shilla telah beberapa kali menggemparkan industri hiburan tanah air apabila berani tampil seksi tidak kisahlah untuk menghiasi muka depan majalah mahu pun ketika menghadiri majlis fesyen dan pelakon ini mempunyai jawapan kepada tindakannya itu.

Melalui sisipan B*Pop keluaran Berita Harian hari ini, Tasha menjelaskan perkara tersebut dilakukan di atas dasar kerjaya selain menyatakan pakaian yang digayakannya itu adalah di atas dasar minatnya sendiri terhadap fesyen.

“Saya mohon, jangan heret isu agama dalam hal ini. Saya lakukannya sebagai kelangsungan kerjaya kerana selain tampil dalam acara hiburan, saya juga diberi pernghormatan untuk muncul ketika acara fesyen. Mungkin saya nampak seksi kerana semakin kurus,” jelasnya kepada akhbar tersebut.

Selain itu, menurut Tasha, ketika ini dia hanya mahu menjadi diri sendiri namun dalam masa yang sama terbuka untuk menerima kritikan yang mendorongnya ke arah yang lebih positif. Malah Tasha juga memohon maaf jika sikapnya mengguris perasaan ramai orang.

“Saya manusia yang tidak sempurna, senjata saya kini hanyalah doa. Kalau boleh saya tak mahu komen lebih, terutama hal berkaitan agama. Mungkin saya nampak sosial, namun saya juga ada pegangan agama. Biarlah hal itu menjadi rahsia antara saya dengan Yang Satu,” katanya lagi.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »