Johor Bahru: Seorang suri rumah membuat laporan polis terhadap pengasuh anak perempuannya berusia tiga tahun kerana mendakwa anaknya dirotan oleh wanita berusia 40-an itu di Taman Sri Yaacob, di sini, semalam hingga cedera di beberapa anggota badan.
Lau Hui Choon, 32, berkata, kejadian berlaku pada hari ketiga dia menghantar anak perempuannya itu dan anak lelaki bongsu berusia setahun ke rumah pengasuh berkenaan.
Menurutnya, pengasuh berkenaan yang dikenali sebagai auntie menghubunginya pada 8 malam semalam dan mengadu anak perempuannya berkelakuan nakal.
Katanya, pengasuh berkenaan juga mendakwa terpaksa merotan kanak-kanak berkenaan dengan alasan mahu mendisplinkannya.
"Selepas menerima panggilan, saya ke rumah pengasuh itu kerana bimbang dengan keselamatan anak.
"Saya terkejut melihat kaki dan tangan anak perempuan saya cedera dipercayai akibat dirotan wanita berkenaan.
"Saya mengambil keputusan untuk membawa pulang kedua-dua anak dan membuat laporan polis di Balai Polis Nusajaya semalam," katanya ketika ditemui hari ini.
Sumber : HMetro