Selepas disatukan pada 13 Februari lalu dan bersanding pada 14 Februari di Yong Peng, Johor, semalam berlangsung majlis sambut menantu pasangan Yana Samsudin dan Fadzil Zahari di Jitra, Kedah.
Selama tiga minggu bergelar suami isteri, Yana akui tidak banyak perubahan dilalui, cuma ada beberapa perkara kecil yang dianggap baru baginya.
“Kalau dulu-dulu, saya selalu di temani PA (pembantu peribadi) tapi kini ditemani suami ke mana-mana. Seronok juga walaupun dia tak selalu sangat temani saya sebab dia pun ada kerja sendiri.
“Cuma akhir-akhir ini susah nak berenggang. Tak tahu pula dia sungguh ‘loving’ (penyayang), romantik semacam pula!” katanya ketawa sambil mengakui berasa janggal dengan suasana baru itu.
Berita pernikahan Yana dan Fadzil juga mengejutkan umum kerana sebelum ini berteka-teki mengenai hubungan mereka.
Pelakon yang dikenali dengan watak Kak Yong dalam kalangan peminatnya mengakui hingga saat ini perasaan janggal itu masih ada sehingga ada kala dia susah untuk mengadaptasi situasi baru.
Pun begitu, Yana bersyukur tidak banyak yang berubah dari segi kesefahaman dan toleransi sesama mereka.
Walaupun masih baru, Yana percaya sikap suaminya akan kekal romantik dan penyayang kerana Fadzil sedari dulu sering menunjukkan sikap rendah diri dan menghormatinya sebagai kawan rapat.
Kata Yana, bapanya memberi tazkirah kepada mereka berdua selepas sah bergelar suami isteri. Ia sebagai pesanan hati ke hati daripada bapa mentua buat menantu lelaki baru dalam keluarga Yana yang ramai perempuan.
“Cuma saya susah nak biasakan diri sebab kami bermula sebagai kawan, kemudian menjadi kawan baik dan kini suami isteri.
“Kini, saya kena hati-hati sikit takut terguris hatinya, terutama apabila saya perlu membuat keputusan,” katanya.
Apatah lagi, umum mengetahui Yana dianggap selebriti yang kuat bekerja dan mempunyai ramai peminat.
Dek kesibukan itu juga, mereka belum berkesempatan berbulan madu, apatah lagi mengambil cuti panjang untuk berehat.
Selepas majlis resepsi di Johor, Yana masuk set penggambaran untuk filem terbaru namun terhenti seketika kerana menghidap demam denggi.
“Memang tak sempat ke mana-mana. Sehari sebelum bersanding pun masih bekerja dan berulang alik dari Yong Peng untuk urusan nikah dan kini sibuk untuk majlis resepsi di Kedah pula.
“Nak berbincang ke mana pun belum berkesempatan sebab jadual kerja saya penuh sampai Mei depan,” kata Yana.
Berkongsi kisah tiga minggu bergelar isteri, Yana akui suami memintanya memasak kerana tahu isterinya suka dan pandai memasak.
Namun, baru seminggu merasai masakan air tangan isteri tercinta, Fadzil mula ‘komplen’ perut naik.
“Yalah, selama seminggu saya jaga makan minumnya daripada sarapan, makan tengah hari, minum petang sehingga kepada makan malam. Selepas seminggu, dia mula minta kurang-kurangkan,” katanya ketawa.
Mengenai perancangan menimang cahaya mata, Yana akui setiap suami isteri yang baru berkahwin pasti mahukan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga, tetapi dia dan suami menyerahkan kepada ketentuan Allah sama ada cepat atau lambat.
Katanya, dia tidak merancang walaupun sedar dirinya sibuk dengan pelbagai tawaran berlakon dan mengacara. Yana juga akui sebelum ini suaminya meminta dia mengurangkan aktiviti berlakon dan mengacara selepas berkahwin.
“Apabila seminggu menjadi suri rumah sepenuh masa, dia dapat rasa itu bukan saya. Mungkin sebab itu dia benarkan saya teruskan aktiviti berlakon dan pengacaraan seperti biasa.
“Suami pun banyak mengurus aktiviti saya, terutama berkaitan kerja, jadi rasa selamat sikit sebab kami dari bidang sama,” katanya yang turut membantu mengurus syarikat suaminya.
Orang tua pernah berkata, perkahwinan adalah satu daripada pintu rezeki kepada suami isteri. Tidak ketinggalan pada pasangan ini.
Selepas mendapat tajaan majlis resepsi lalu, pasangan itu ditaja lagi oleh Azura Couture (busana), Ikmal Mukmin Gen’s Great Idea (pelamin) dan Addy Ideas (kek) untuk majlis semalam.
Yana bersyukur kerana rezeki sentiasa ada untuk mereka berdua, malah dari segi tawaran lain pula, kebanyakannya diterima sebelum berkahwin.
Melihat jadualnya, slot kerjanya penuh. Yana kini banyak menerima tawaran pengacaraan selepas berjaya membuktikan keupayaannya dalam program realiti Juara Joran yang lalu.
“Kini saya mengendalikan pula program masakan Lesung Pipit. Dari situ, banyak pihak tahu saya mampu kendalikan program. Saya juga ditawarkan mengacara dua program hiburan untuk TV3.
“Minggu depan, saya akan kembali ke set penggambaran filem aksi komedi terbaru terbitan Pencil Pictures,” dedah Yana yang akan menghabiskan masa seminggu di Kedah untuk sesi suai kenal keluarga sebelah mentua.
Sumber : MyMetro