PETALING JAYA: Teman lelaki kepada aktres Tasha Shilla iaitu Hans Wong terus mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung status sebenar hubungannya dengan wanita berkenaan yang terus diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Hans, 25, ketika dihubungi berkata, dia juga tidak mahu membuat komen balas berhubung penjelasan teman wanitanya itu yang mengesahkan percintaan mereka berdua masih berjalan seperti biasa.
"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, biarlah Tasha yang beri kenyataan dan saya tidak ada komen lanjut mengenai kenyataan terbaharunya.
"Saya harap anda semua memahami dengan pendirian saya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Tasha menerusi satu kenyataan menjelaskan dia dan Hans masih pasangan kekasih dan memberitahu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kononnya mereka sudah berpisah.
Bagaimanapun Tasha enggan mengulas dakwaan kononnya penyanyi Kaka Azraff menjadi penyebab kepada keretakan hubungan mereka.
Dalam pada itu, Hans ketika ditanya perkara sama turut memberi jawapan senada dengan Tasha dan enggan menjawab mengenai perkara itu.
Malah pemuda itu enggan berkongsi tentang apa sebenarnya berlaku dalam hubungan mereka sehingga timbulnya kekecohan tersebut.
"Saya minta maaf. Tiada komen," katanya ringkas.
Terdahulu, pasangan yang mula bercinta sejak 2013 itu dilaporkan berpisah kerana perbezaan agama sebelum nama Kaka dikaitkan sebagai punca perpisahan tersebut.
Sumber : MstarOnline