PETALING JAYA: Pelakon Nazim Othman bakal mendedahkan penyakit yang dihidapinya sehingga dia terpaksa melakukan pembedahan di kepala.
Pendedahan itu akan dibuat dalam program hlive! Apa Kata Malaysia pada Isnin (esok) pukul 9.30 malam di saluran Astro RIA (104) dan Astro Maya HD (135).
Ia dihoskan oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi.
Hlive dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Ahad memberitahu, dalam temubual itu, Nazim memberi penjelasan terhadap tindakannya untuk berahsia mengenai penyakit berkenaan.
"Situasi saya (kali ini) rumit kerana pembedahan ini melibatkan anggota badan yang penting dan serius. Ada kemungkinan saya hilang deria atau kemungkinan lain yang lebih besar," kata Nazim.
Berat badan pelakon berusia 31 tahun itu naik sebanyak lima kilogram kesan ubat-ubatan selepas pembedahan.
"Bila saya muat naik gambar di Instagram, orang lain tidak tahu yang sebenarnya saya sudah pun menjalani pembedahan," tambah Nazim yang tampil dengan beanie (aksesori kepala) bagi menutup parut kepalanya dalam rancangan itu.
Turut dikongsikan bersama hLive! Apa Kata Malaysia ialah saat-saat getir sebelum pembedahan dan impak pembedahan tersebut kepada seluruh kehidupannya.