Redmayne, Moore teruskan keunggulan di Academy Awards



KUALA LUMPUR: Seperti dijangka Anugerah Academy Awards ke-87 yang berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles menyaksikan ulang siar kemenangan kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.

Eddie Redmayne dan Julianne Moore masing-masing cemerlang dalam filem The Theory Of Everything dan Still Alice. Ia sekali gus menyaksikan kemenangan bertubi-tubi mereka selepas di Screen Actors Guild Awards, Golden Globe Awards dan BAFTA.

Keadaan sekarang seperti tiada calon lain yang mampu menggugat keampuhan mereka. Penghayatan Redmayne memegang watak Stephen Hawking dalam filem The Theory Of Everything cukup mengesankan.

Hampir setiap inci karakter berkenaan disempurnakan dengan baik. Begitu juga watak Moore sebagai Dr Alice Howland.

Melakonkan watak wanita yang mengidap penyakit Alzheimer iaitu sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif, Moore dianggap begitu hebat menampakkan dua fasa beliau ketika masih sihat dan sebaliknya.



PENGARAH, Alejandro Gonzalez Inarritu (tengah) bersama kru produksi filem Birdman yang dinobatkan Lakon Layar Terbaik pada Anugerah Oscar Ke-87 di Hollywood, hari ini. - Foto AFP
Kategori tumpuan utama iaitu Filem Terbaik dimenangi Filem Birdman. Filem itu menewaskan kekebalan filem Boyhood arahan sutradara Richard Linklater yang terdahulu diangkat sebagai Filem Terbaik di Golden Globe Awards dan British Academy Film Awards (BAFTA).

Birdman turut memenangi kategori Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Sementara itu filem The Grand Budapest Hotel turut memenangi empat kategori iaitu Rekaan Kostum Terbaik, Solekan dan Dandanan Rambut Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik dan Skor Muzik Terbaik.

Sementara filem Whiplash menang tjga kategori - Suntingan Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Adunan Bunyi Terbaik.

Keputusan anugerah itu disaksikan BH Online pada acara Breakfast With The Stars di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, anjuran HBO Asia pagi tadi menampilkan Lisa Surihani dan Syazwan Zakariah.

Yang turut hadir ialah Datuk Fazley, Faizal Ismail, Liyana Jasmay, Sarah lian, Thanuja dan Anuja.

Sumber : BHOnline

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »