Elaine Daly teruja mengandung anak pertama



PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara program bual bicara Bella, Elaine Daly begitu teruja bercerita mengenai kehamilan pertamanya yang berusia lima bulan.

Elaine berkahwin dengan cinta hatinya, Nick Borden, seorang doktor yang berasal dari Afrika Selatan pada 4 Disember 2014.

"Saya begitu teruja dengan kehamilan saya yang sudah mencecah lima bulan ini. Siapa sangka segala-galanya berlaku dalam sekelip mata yang mana saya berkahwin dan disahkan mengandung pada usia 35 tahun ke atas.

"Kami tidak merancang dan bersyukur dengan rezeki yang diberikan kepada kami ini. Saya sedang hamil satu bulan ketika majlis resepsi berlangsung namun saya dah rasa lain sedikit ketika bersama kawan-kawan di Koh Samui," kata Elaine.

Dia ditemui pada majlis persembahan fesyen pengantin Rizman Ruzaini bertempat di The Strand Kota Damansara, di sini.

Elaine berkongsi mengenai alahan di awal kehamilannya yang mana dia hanya berselera dengan tofu dan sayuran sahaja.

Namun Elaine kini sudah kembali cergas seperti biasa dan aktif melakukan senaman khas untuk wanita mengandung bersama jurulatih peribadinya.

"Agak terseksa juga masa resepsi di sebelah pihak lelaki di Afrika Selatan kerana pada ketika itu saya langsung tidak boleh makan daging dan ikan.

"Kebanyakan masanya saya hanya makan sayuran dan tofu saja. Tetapi sekarang ini tekak saya lebih berselera makan hidangan yang bersambal dan bercili.

"Saya juga dah biasa bersenam dan sibuk dengan kerjaya jadi apabila disuruh berehat membuatkan saya tidak senang duduk.

"Saya yang sememangnya suka bersenam memperuntukkan tiga kali seminggu untuk bersenam bersama jurulatih peribadi," kata Elaine.

Selain itu, Elaine turut berkongsi yang dia kini sedang hamil anak perempuan namun belum bersedia untuk mendedahkan nama pilihan dia dan suami lagi.

Elaine bakal berpantang untuk tempoh 40 hari bagi mendapatkan susuk tubuh seperti sedia kala.

Sumber : BHOnline

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »