'Kami tak buat apa-apa ustaz'



JITRA - “Kami tak buat apa-apa ustaz. Kami duduk lepak saja,” itulah antara reaksi beberapa pasangan remaja yang ditahan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Daerah Kubang Pasu dalam operasi membendung gejala maksiat yang diadakan, baru-baru ini.

Susulan laporan Sinar Harian mengenai aktiviti kurang sopan segelintir remaja menjadikan kawasan tempat rekreasi untuk memadu kasih dengan pasangan masing-masing akhirnya membawa padah dan memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat.

Tindakan oleh Jabatan Agama Islam Daerah Kubang Pasu itu berjaya menahan remaja yang dilihat berkelakuan tidak senonoh dan berdua-duaan di tempat awam.

Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, operasi di sekitar tasik terletak di bandar Darulaman yang diadakan pada Jumaat lalu menahan tujuh pasangan remaja dalam lingkungan usia 16 hingga awal 20-an.

Menurut beliau, dalam operasi tersebut remaja yang ditahan dilihat mempamerkan kelakuan tidak senonoh sama ada di tempat tumpuan orang ramai dan berada jauh dari pandangan awam.

“Ketika ditahan mereka sedang berdua-duaan dengan kelakuan yang kurang sopan. Ada yang berpegangan tangan, tangan di atas riba dan berdua-duaan di tempat jauh dari pandangan orang ramai,” katanya.

Tambah beliau, dalam operasi yang dianggotai 14 penguatkuasa itu, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014.

Katanya, bagaimanapun remaja berkenaan dibebaskan dengan jaminan ibu bapa atau penjaga.

Sementara itu, Sinar Harian Khamis lalu melaporkan, pengunjung kawasan riadah itu kurang senang melihat kelakuan tidak senonoh segelintir remaja yang menjadikan kawasan tasik itu sebagai ‘port’ mereka melepak.

Melalui langkah penguatkuasaan oleh Jabatan Agama Islam Daerah Kubang Pasu itu diharap remaja mengambil iktibar dan menjauhi aktiviti tidak bermoral berkenaan.


Sumber : Sinar Harian

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »