TAIPING 9 Feb. – Berang kerana cintanya ditolak dipercayai menjadi punca suspek mengelar leher Nursyuhada Johari dalam kejadian di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang di sini, Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, mangsa yang merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang telah lama berkenalan dengan suspek berusia 25 tahun itu.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka tinggal di kawasan perumahan berhampiran.
“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mangsa telah menolak cinta suspek dan ini menyebabkan lelaki yang merupakan seorang tukang masak itu berdendam dengan mangsa.
“Bagaimanapun, ini semua masih berada pada peringkat awal untuk dibuat andaian dan kita kini memerlukan masa bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya di sini hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan mangsa diculik dari kampusnya di Permatang Pauh sebelum kejadian, Ismail bagaimanapun menolak dakwaan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari, Isnin lalu, pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Nursyuhada, 20, terbunuh selepas lehernya dipercayai dikelar suspek di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang.
Nursyuhada yang dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan kecemasan bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dendam-cinta-ditolak-punca-nursyuhada-dikelar-1.57853#sthash.edDnHhWX.dpuf