IS bakar hidup-hidup 43 lagi tahanan



RAMADI - IRAQ. Selepas membakar juruterbang Jordan, memancung rakyat Jepun termasuk memenggal kepala 21 penganut Kristian Koptik Mesir, terbaru kumpulan militan Negara Islam (IS) dilapor terus bertindak kejam dengan membakar 43 orang hidup-hidup dalam satu kejadian di wilayah Anbar, barat Iraq, semalam.

Laporan agensi berita Xinhua yang memetik sumber keselamatan wilayah itu berkata, dalam tragedi itu anggota IS menahan sebanyak 43 orang penduduk dari kabilah Sunnah, albu-Obeid di bandar al-Baghdadi yang terlibat dengan pertempuran terletak kira-kira 200 kilometer barat laut ibu negara Iraq, Baghdad.

Menurut sumber kumpulan militan itu mengurung kesemua tahanan dalam  sangkar besi sebelum membakar mereka hidup-hidup.

Terdahulu jelas sumber itu, 43 orang tersebut dipercayai adalah anggota polis tempatan dan ahli kumpulan separa tentera Sahwa yang kemudiannya dipindahkan ke bandar yang dikuasai kumpulan itu di Heet.

Pembunuhan itu berlaku tidak lama selepas pembunuhan 70 orang dalam tempoh 10 hari lalu apabila militan IS menyerang bandar al-Baghdadi dan pangkalan tentera udara berhampiran, Ain al-Asad yang menempatkan ratusan tentera marin Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, serangan kumpulan itu ke atas pangkalan udara tersebut berjaya dipatahkan pasukan keselamatan dan pesawat AS, sementara pertempuran berterusan di bandar itu selepas tentera Iraq menguasai semula sebahagian kawasan  berkenaan.

Sementara itu, sumber itu berkata, militan IS dilapor mengepung sebuah kawasan perumahan di bandar al-Baghdadi yang menempatkan berpuluh-puluh keluarga anggota keselamatan dan pejuang Sahwa.

Katanya, kesemua penduduk kini berdepan kekurangan bekalaan makanan dan minuman termasuk bekalan senjata dan peluru.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/global/is-bakar-hidup-hidup-43-lagi-tahanan-1.362837

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »