AC Mizal Labur Jutaan Ringgit Buka Stesen TV Sendiri



Sepanjang 23 tahun berkecimpung dalam dunia seni tanah air, Datuk AC Mizal antara selebriti yang sukses membina nama sebagai seorang penghibur versatil.

Malah, figura berusia 43 tahun ini bergelar usahawan dan menjalankan perniagaan di dalam dan luar negara termasuklah mempunyai hotel di Bali, Indonesia.

Terbaru, AC berani melaburkan wangnya sendiri yang mencecah jutaan ringgit untuk membuka sebuah stesen televisyen sendiri.

Pemilik nama sebenar Mizal Zaini ini ketika ditemui pada majlis pengumuman Top5 Anugerah Bintang Popular (ABPBH2014) di Kuala Lumpur semalam mendedahkan beliau akan melancarkan stesen televisyennya yang diberi nama Peace Yo. FM pada April nanti.

"Stesen ini berkonsepkan hiburan sepenuhnya yang akan memaparkan pelbagai program realiti dan drama yang akan diterbitkan produksi saya sendiri. Kandungannya bukan saja terhad tentang dunia hiburan dalam negara malah, tertumpu juga pada hiburan antarabangsa di seluruh dunia

"Untuk kandungan di luar negara, saya akan bekerjasama dengan pelajar-pelajar yang belajar di luar negara untuk mereka turut sama menyumbang apa saja yang boleh dijadikan kandungan program.

"Bukan mudah sebenarnya untuk membina sebuah stesen TV. Walaupun ianya online tapi dari segi peralatan dan keperluan seperti kamera memerlukan kos yang sangat tinggi. Namun, demi merealisasikan impian saya ini, saya sanggup melabur jutaan ringgit wang sendiri untuk perniagaan kali ini.

"Pelaburan sebanyak itu untuk memastikan stesen TV saya ini mencapai tahap piawaian dan profesional sebuah stesen penyiaran," kongsinya dengan nada penuh yakin.

Tambahnya, bermula 1 Mac ini satu ujibakat akan diadakan pencarian deejay dan wartawan siaran untuk stesen tersebut. Sesi ujibakat akan diadakan seawal jam 9 pagi bertempat di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Seramai 25 orang diperlukan untuk berhidmat dengan stesen tersebut.

"Pada 1 Mac ini akan diadakan ujibakat terbuka kepada sesiapa saja dalam kalangan usia 18 hingga 30 tahun. Bagi saya, tidak kira sama ada mereka itu punya kelulusan universiti atau tidak, apa yang penting jika mereka berbakat dan layak, tentu akan ada peluang untuk menyertai stesen TV saya.

"Dalam beberapa bulan ini Peace Yo. FM akan beroperasi selama 12 jam dulu tetapi kemudian nanti baru ia beroperasi selama 24 jam," katanya.

Bercerita lagi mengenai perniagaannya itu, AC menyatakan idea untuk mewujudkan stesen TV sendiri sebenarnya sudah lama difikirkan. Sementelah ia sebagai salah satu perancangan untuk diri terus melibatkan diri dalam dunia penyiaran.

Di samping itu, AC juga berharap Peace Yo.FM dapat dijadikan sebagai platform untuk artis-artis baru mempromosikan diri.

"Sudah lama saya fikirkan tentang mahu bukan stesen TV sendiri. Sebenarnya, bahagian kandungan rangan berbahasa Cina Peace Yo.FM sudah pun beroperasi sejak lima bulan lalu. Jadi sekarang pihak saya sedang buat persiapan untuk bahagian Bahasa Melayu dan pelancarannya nanti.

"Selain ini satu lagi cabang perniagaan saya, ia juga sebagai platform untuk artis-artis baru masa kini untuk promosikan diri mereka. Sebab sekarang ini apa yang dapat kita lihat, kebanyakan stesen TV sering menampilkan artis-artis yang sama saja kerana berdasarkan nilai komersial mereka.

"Jadi, diharapkan Peace Yo. FM dapat dijadikan ruang untuk muka-muka baru mempromosikan bakat mereka," tuturnya teruja.

Bagaimanapun, AC mengeaskan beliau tidak akan muncul di stesen televesyennya sendiri kerana terikat sebagai artis eksklusif stesen TV berbayar, Astro.

"Walaupun fokus saya buat masa pada perniagaan saya tapi karier seni dan kerjaya pengacaraan masih saya lakukan seperti biasa.

"Cuma, saya tidak akan muncul di stesen TV saya kerana saya masih lagi artis eksklusif Astro," katanya yang turut memberitahu mendapat banyak tunjuk ajar dan rujukan daripada pihak Astro sepanjang melaksanakan projeknya itu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaannya tercalon dalam Top 5 kategori Pengacara Paling Popular, penyayi lagu Paranoid ini berharap dia dapat mengulangi kemenangannya seperti tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya tercalon Top 5 pada tahun ini dan berharap menang seperti tahun lalu," katanya.

Perkembangan lain, AC juga menyatakan beliau akan melancarkan talian telefonnya sendiri iaitu Best Mobile pada penghujung Mei nanti..

Sumber : MalaysianDigest

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »