Faizal Tahir Kini Penyanyi Rap



Agak lama tidak muncul dan membuat persembahan rupanya dalam diam, penyanyi rock Faizal Tahir, 37, kini beralih sebagai penyanyi rap.

Kata figura yang sinonim dengan jolokan 'Superman Malaysia', peluang merealisasikan impiannya itu terbuka apabila ditawarkan Astro untuk menyanyikan lagu tema drama bersiri terbaru kanak-kanak, Super Game Boy berjudul Generasi Kami.

Biarpun selama ini dia lebih dikenali menerusi lagu dan muzik rock tetapi Faizal tidak merasakan percubaanya itu melanggar prinsipnya sebagai seorang penyanyi rock yang beralih menyanyi rap untuk lagu kanak-kanak.

Sebaliknya, keingginan mahu menyanyi rap sudah lama terpendam sekaligus hasrat itu direalisikan demi anak-anaknya

"Selama ni saya biasa buat benda yang orang boleh jangkakan. Sebagai peghibur, saya sentiasa mahu berikan sesuatu yang lain dan segar setiap kali kemunculan saya.

"Jadi, kali ini saya mahu berikan kelainan dan sesuatu yang orang tak jangka. Rap adalah satu perkara saya belum pernah buat lagi.

"Bagi saya, kalau sesuatu perkara yang saya buat itu boleh membantu saya kembali dalam industri, kenapa tidak saya teruskan.

"Tidak timbul soal langgar prinsip lagipun memang sudah lama saya ingin menyanyi rap. Tambahan sekarang ni saya mempunyai anak-anak yang sedang membesar dan saya sudah faham kerenah mereka.

"Jadi, inilah masanya untuk saya tunjukkan sifat kebapaan yang ada dalam diri saya.

"Keputusan mahu menyanyikan lagu kanak-kanak ini saya buat untuk anak-anak saya. Malah, sejujurnya dari kecil, saya sendiri pernah berangan mahu terbabit sama dalam program 'Sesame Street' tetapi ia tentulah mustahil," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama Super Game Boy di Kuala Lumpur, semalam.

Lagu Generasi Kami turut menampilkan kolaborasi Faizal bersama penerbit muzik Audi Mok, Juzzthin, Wafiey dan Datuk Jalaluddin Hassan juga menyanyi.

Sementelah pelantun lagu Assalamualaikum ini mengakui bukan mudah untuk dia menguasai teknik rap terutama dari segi cara rap begitupun Faizal menggangap kesukaran itu sebagai satu cabaran.

"Selama ini mungkin ramai ingat rap tu senang tetapi sebenarnya tidak. Saya sendiri pun perlu ada cara saya yang tersendiri kalau sama macam rapper lain, baik tak payah rap tetapi saya jadikan ia satu cabaran," katanya yang turut memberitahu mahu menghasilkan sebuah album lagu kanak-kanak pada masa akan datang.

Berkongsi mengenai perkembangan mengenai kehidupannya kini, Faizal berkata sejak bergelar bapa kepada lima cahaya mata, jika tidak sibuk dengan kerja di studio, dia akan berada di rumah bersama anak-anaknya.

Bahkan, memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa menjadikan dia semakin matang dan berfikiran lebih rasional dalam membuat sesuatu keputusan.

"Tiga daripada anak saya sudah pun bersekolah, jadi memang rutin saya kalau saya tidak sibuk dengan kerja-kerja di studio, saya akan duduk di rumah menjaga anak-anak.

"Bila tanggungjawab semakin besar, saya jadi lagi matang. Kalau mahu buat satu-satu keputusan pun lagi rasional.

"Kehadiran anak-anak mendorong saya untuk kerja lebih keras untuk kami sekeluarga. Anak-anak banyak mempengaruhi saya dalam membuat satu-satu keputusan sekaligus anak-anak daya buat saya menjdai seorang yang lebih bagus.

"Saya memang sukakan budak-budak. Saya dan isteri datang dari keluarga yang besar, jadi memang kami senang dan bersyukur dikurniakan ramai anak", katanya yang tidak menolak jika dikurniakan lagi rezeki anak pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Faizal sekarang dalam proses menghasilkan single terbaru Anis Suraya dan Elizabeth Tan yang juga merupaka artis dibawah syarikat rakamannya, Faithful Music yang ditubuhkan sejak setahun lalu.

"Saya gembira dengan prestasi artis-artis bawah naungan label saya. Karier mereka semakin berjalan lancar. Macam Anis dan Elizeberth masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri. Begitu juga dengan Aziz Harun Aziz yang juga sudah punya kelompok peminatnya sendiri.

"Saya pun sedang dalam proses menghasil single terbaru untuk Anis dan Elizabeth.

"Saya bersyukur kerana selain ada lima anak di rumah, saya ada tiga anak didik yang semakin menyerlah bakat mereka dalam dunia nyanyian.

"Tanggungjawab saya untuk terus berikan mereka garis panduan yang betul untuk mereka terus melangkah ke depan dalam industri.

"Ramai juga yang hantar demo dan mahu menjadi artis dibawah label saya. Ramai juga yang bertanyakan saya mencari ciri penyanyi yang bagaimana.

"Bagi saya pada zaman sekarang untuk jadi penyanyi bukan hanya perlu ada suara bagus tapi saya juga mencari personaliti dalam diri seseorang yang ingin bergelar penyanyi itu," katanya.

Sumber : MalaysianDigest

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »