Emma Maembong Tidak Serik Bercinta



Setelah mengesahkan dirinya kini solo, pelakon Emma Maembong tidak menoleh ke belakang lagi. Sebaliknya, gadis kacukan Melayu Scotland ini sekarang menjalani kehidupan seperti biasa selain memberikan tumpuan lebih pada kerjayanya.

Begitupun, tidak bermakna dia menutup pintu hatinya untuk bercinta lagi cuma buat masa ini dia tidak mahu lagi memikirkan soal perhubungan.

"Hidup saya macam biasa. Sibuk dengan penggambaran. Apa yang telah jadi semua ini tidak menghalang saya untuk tumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya saya.

"Saya pun tidaklah kata yang saya serik bercinta lagi," ujarnya sambil tersenyum ketika ditemui pada majlis tayangan 'trailer' drama Isteri Separuh Masa di Kota Damansara, Selangor, malam tadi.

Emma baru-baru ini mengakui bahawa hubungan cintanya dengan pelakon dan pelawak popular Zizan Razak yang terbina selama dua tahun sebenarnya sudah berakhir.

"Saya mengaku sebab saya mahu jujur. Kalau betul kami tidak lagi sebagai pasangan kekasih saya rasa baik berterus terang saja. Cuma, sebab mengapa kami berpisah itu saya tidak akan kongsikan pada semua.

"Cukuplah sekadar memberitahu yang kami sudah tiada apa-apa hubungan istimewa lagi," katanya.

Dalam pada itu Emma memberitahu dia masih berhubung dengan Zizan dan tidak menolak seandainya ditakdirkan untuk mereka kembali bersama

"Dua tahun saya dengan dia. Kami pun sudah kenal dengan keluarga masing-masing. Malah, perancangan untuk ke peringkat seterusnya pun sebenarnya pelahan-lahan sudah mula dibincangkan.

"Tiada siapa yang mahukan semua ini jadi (berpisah) tetapi kami masih berhubung dan berkawan. Masing-masing sekarang sibuk dengan penggambaran.

"Saya tidak pernah kata yang saya benci dia. Kalau mungkin kami ada jodoh pada masa akan datang atau tiada, saya terima," katanya.

Tambahnya, dia tidak mengambil peduli cakap-cakap sesetengah pihak sebelum ini yang mengatakan dia sengaja mencari perhatian apabila membuat kenyataan mereka sudah berpisah padahal masih dilihat keluar bersama.

"Ini baru pertama kali saya beritahu perkara yang sebenar (putus). Terpulanglah apa orang nak kata.

"Sebagai artis, ini antara yang kami harus lalui di mana setiap gerak geri dan hidup kita jadi perhatian. Orang akan sentiasa bercakap tentang kita sama ada baik atau buruk kita.

"Selama ini ada yang kata saya hanya ada dengan Zizan sewaktu dia tengah ada berduit saja. Padahal selama ini jatuh bangun dia, saya sentiasa ada di sisinya memberi sokongan," katanya.

Dalam perkembangan lain, selepas selesai penggambaran drama bersiri Isteri Separuh Masa, kini naskah arahan pengarah Michael Ang itu bersambung dengan penggambaran telefilem khas pula.

Selain Emma, barisan pelakon yang turut menjayakan drama adapatsi novel ini antaranya Aiman Hakim Redza dan Ayda Jebat.

Sumber : MalaysianDigest

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »