Daud Pandai Baca Al-Fatihah & Suka Nasi Kandar



Atlet sukan bola tampar Olimpik dari Amerika Syarikat, David McKienzie atau nama Islamnya Mohammad Daud McKienzie Abdullah, 35, terbuka hati memeluk Islam sejak berkenalan dengan bakal isterinya, aktres sensasi, Lana Nodin.

David menyatakan dia tidak berasa kekok dengan Islam kerana pernah bekerja di Dubai selama enam tahun.

"Sepanjang di Dubai, saya terdedah dengan pengetahuan mengenai Islam kerana dikelilingi rakan-rakan yang menganut agama itu. Jadi, sedikit sebanyak saya memahami cara hidup Islam.

"Namun, hati saya terbuka untuk memeluk Islam selepas berkenalan dengan Lana di Singapura pada tahun lalu.

"Ini kerana saya benar-benar serius dalam hubungan kami dan ingin melangkah ke fasa seterusnya dengan menyunting Lana sebagai suri hidup," katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui di Kuala Lumpur, kelmarin.

Jejaka berdarah kacukan Filipina, Ireland dan Inggeris ini mengambil keputusan memeluk Islam pada 26 Oktober tahun lalu.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik ini, dia tertarik dengan Lana kerana perwatakan aktres yang baik dan seorang mudah mesra.

"Selama beberapa bulan kami berkawan, hati saya semakin yakin memeluk Islam apatah lagi keluarga tidak menghalang jika saya mahu memeluk Islam.

"Ibu saya sendiri mengingatkan saya jika saya benar-benar mahu mengahwini Lana, saya perlu bersedia memeluk Islam.

"Lana juga pernah bertanya sama ada saya tahu tentang Islam dan adakah saya benar-benar mahu hubungan ini serius. Saya beritahu dia yang saya serius dan sudah lama bersedia memeluk Islam," katanya.

Selain bergelar atlet, David yang sekarang bermaustatin di Singapura juga merupakan seorang jurulatih dan turut menguruskan akademi bola tampar miliknya, American Volley Ball Academy.

Dalam pada itu, Lana yang berada di sisi David lantas menyatakan dia tidak menyangka bakal suaminya itu tahu membaca surah Al-Fatihah.

"Saya tak sangka dia boleh membaca Al-Fatihah. Tambahan dia sudah biasa dengan budaya Asia sebab ibunya berasal dari Filipina, jadi dia tidak kekok dengan makanan dan budaya di sini.

"Dia beritahu saya dia suka tinggal di Malaysia berbanding Singapura. Dia suka sangat makan nasi kandar," katanya.

Pasangan ini akan melangsungkan pernikahan pada 15 Mei depan dalam sebuah majlis yang akan diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, ditanya apakah dia akan menghalang Lana untuk meneruskan karier lakonan, David menyatakan dia tiada masalah kerana sudah memahami kerjaya bakal isterinya itu.

"Saya tidak kisah jika dia mahu meneruskan karier lakonannya tetapi pemilihan watak itu haruslah sesuai", katanya yang melamar Lana pada 3 Januari lalu ketika pelakon itu berkunjung ke New York City untuk mengenali keluarganya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »