Tiada Liputan Media Majlis Nikah Sharifah Sakinah



PETALING JAYA: Akad nikah pelakon Sharifah Sakinah dan pasangannya Aliff Adha Jamil pada 28 Mac ini dilakukan tanpa liputan media kerana kedua-dua pihak mahu melalui detik berkenaan dengan tenang.

Sakinah, 26, berkata, majlis itu terpaksa dilakukan secara tertutup kerana dia mahu saat-saat bersejarah itu hanya dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.



"Bukan kerana saya tidak mahu berkongsi dengan media dan peminat, cuma saya tidak mahu majlis tersebut akan jadi kelam kabut dan masa bersama keluarga serta rakan-rakan akan terjejas.

"Kalau boleh saya mahu mereka semua berada di sisi saya dan berkongsi perasaan ketika itu," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Selasa.

Namun katanya, satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas majlis berkenaan berakhir.

Sakinah bakal melangsungkan pernikahan bersama Aliff Adha Jamil, 27, yang merupakan juruterbang di Hotel Shangri-La, dekat sini.

Dalam pada itu, Sakinah berkata, larangan liputan itu dilakukan selepas dia melihat pengalaman yang dilalui oleh kakaknya Sharifah Shahira dan rakan-rakan artis lain.

"Saya dah pernah lalui ketika kakak saya dan rakan artis lain yang terlalu sibuk selepas majlis akad dengan sesi temuramah media sehingga mereka tiada masa untuk keluarga dan rakan-rakan yang datang.

"Kalau boleh saya tidak mahu la jadi begitu kerana selepas akad nikah kami semua akan pergi makan bersama-sama," ujarnya.

Bagaimanapun dia tetap akan meraikan hari bahagia tersebut bersama pihak media pada majlis resepsi yang akan diadakan pada 4 April di sebuah dewan di Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Sementara itu, Sakinah berkata, majlis perkahwinan tersebut merupakan masa yang ada untuk dia berkumpul bersama rakan-rakan lain.

Jelasnya, sejak bergelar artis dan sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, dia jarang dapat meluangkan masa bersama rakan-rakannya.

"Saya adakan beberapa majlis ini juga semata-mata untuk bersama rakan-rakan kerana kami memang tiada masa untuk keluar bersama-sama lagi kerana masing-masing sibuk dengan kerja," katanya.

Sakinah turut mengadakan majlis malam berinai pada 21 Mac ini di kediamannya di Taman Melawati, dekat sini.

Dalam pada itu, berkongsi perasaan bergelar isteri, Sakinah berkata, dia sudah merasakan debaran untuk memikul tanggungjawab berkeluarga.

Dia juga yakin sudah bersedia untuk berkongsi hidup dengan bakal suaminya.

"Perasaan memang sudah berdebar-debar dan takut untuk memasuki fasa baru dalam hidup berkerluarga. Tetapi saya yakin dapat menjalankan tanggungjawab itu.

"Sekarang belum fikir banyak tentang perancangan lepas kahwin, saya hubungan ini sah dahulu sebagai suami isteri barulah fikir yang lain-lain," ujarnya.

Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober 2014.

Sumber : MStarOnline

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »