SonaOne nafi bercinta dengan Juliana Evans



KUALA LUMPUR : Penyanyi rap, SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Lazoch menafikan yang dia kini menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon dan pengacara, Juliana Evans.

Pemuda kacukan Perancis-Melayu ini berpendapat bahawa khabar angin yang timbul hanyalah sekadar usikan rakan-rakan kepada Juliana yang baru saja pulang ke tanah air.

Juliana baru-baru ini menamatkan program ijazahnya dalam Seni Filem, Video dan Media (minor Teater) di Universiti Western Michigan, Michigan, Amerika Syarikat.

"Saya rasa gosip yang mengatakan kami sedang bercinta ini agak kelakar kerana kami sudah berkawan rapat sejak dulu lagi. Malah, saya dan Juliana sudah berkawan sejak usia kami kecil.

"Mungkin ada pihak yang suka melihat kami sebagai sepasang kekasih dan cuba untuk menyatukan kami berdua. Namun buat masa ini saya mahu fokus dengan muzik yang saya perjuangkan dan tiada masa untuk bercinta," kata Sona ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Beberapa keping gambar Juliana dan Sona di laman Instagram telah dijadikan 'bahan' oleh rakan-rakan mereka untuk mengusik.

Namun Juliana juga turut menafikan khabar angin yang mengatakan mereka sedang bercinta menerusi komen Instagram.

Selain itu, Sona sedang dalam proses penghasilan album solo pertamanya yang dijangka muncul dalam beberapa bulan lagi.

Sona juga merancang untuk melancarkan single terbaharu sebelum album solonya berada di pasaran.

Manakala program Hip Hoppin Asia musim kedua yang memuatkan pengembaraan Sona ke seluruh Asia bakal bersiaran di saluran 8TV bermula Mei nanti.

Sumber : BHOnline

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »