SonaOne Boleh Masuk Kepala - Jue



Sekembalinya ke tanah air selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah di Amerika Syarikat (AS), pelakon dan pengacara Juliana Evans (Jue), 25, kini sibuk menumpukan semula perhatian pada kerjaya seni.

Selain fokus berlakon dan memberi komitmen sebagai jurucakap pelbagai produk, timbul desas-desus mengenai percintaannya dengan seorang penyayi rap, Mikael Adam Lozach atau lebih popular dengan nama pentas, SonaOne.

Bertemu dengan tuan punya badan di sebuah acara hiburan kelmarin, Jue mengakui mengenali jejaka berdarah campuran Melayu-Perancis itu sejak zaman remaja dan berkawan.

"Sebenarnya, saya dengan SonaOne kenal sudah lama sewaktu saya hadir ujibakat zaman remaja dulu. Kebetulan dia pun juga salah sorang kawan kepada bekas teman lelaki saya. Jadi, kami kenal dan berkawan.

"Sejak saya pulang ke sini, baru sekali dua saya berjumpa dengannya, itupun kami keluar beramai-ramai termasuk pengurus saya juga turut bersama.

"Kami tidak pernah keluar berdua dan kalau berhubung, kami banyak bercerita tentang hal kerja," katanya.

Ditanya sejauh mana kebenaran khabar tersebut, Jue memberitahu ketika gosip itu tersebar dia ada bercakap dengan Sonaone mengenai perkara tersebut dan mereka hanya mampu tertawa.

"Dia kata kisah kami bercinta ini sesuatu yang lucu dan saya juga menyatakan perkara sama. Dia hanya gelak apabila membaca gosip itu sebab hubungan kami hanya kawan," tuturnya.

Jue juga menyifatkan SonaOne seorang yang baik dan periang sekaligus selesa mempunyai kawan lelaki seperti penyanyi lagu No More itu.

"Saya suka dia sebagai kawan. Dia baik, dia 'chill'. Boleh masuk kepala.

"Saya bukanlah seorang yang terlalu memilih sebab sebelum ini saya pernah ada teman lelaki kacukan dan juga lelaki Melayu.

"Bagi saya, asalkan seseorang itu boleh faham diri saya dan kami boleh masuk kepala, saya okay saja," katanya yang turut memberitahu buat masa ini dia tidak mahu memikirkan soal cinta kerana fokus pada kerjaya.

Seksi Ada Had


Sementara itu, berkongsi perkembangan kerjaya, Jue bersyukur kerana meskipun dia menghilang diri seketika dari industri seni tempatan tetapi kini kemunculannya masih lagi boleh diterima ramai.

Meskipun lambakan pelakon baru, Jue menyatakan dia tidak berasa tergugat kerana penglibatannya sebagai anak seni bukan kerana mahu bersaing dengan orang lain.

"Alhamdulillah, tidak sangka selama tiga tahun saya di AS tetapi apabila balik ke sini rezeki saya tetap ada, masih lagi diingati dan diterima ramai.

"Sekarang ni saya lihat industri kita bertambah baik dan ramai pelakon baru yang cantik tetapi saya tidak mempunyai masalah dengan kemunculan mereka.

"Tujuan saya masuk dalam industri ini bukan mahu bersaing dengan orang lain tetapi bersaing diri sendiri. Saya mahu buktikan bakat saya dan berdiri sebagai Juliana Evans," katanya.

Namun begitu, dia sedar sebagai figura umum dia tidak dapat lari daripada kontroversi kerana ia seiring populiriti seseorang yang bergelar artis.

Dalam mengatur gerak, Jue menjadikan pengalaman lalu sebagai panduan sekaligus menjadikan dia seorang yang lebih berhati-hati dalam setiap apa yang dilakukan.

Misalnya, kisah kontroversi dia dikatakan tampil seksi dan dilabel mengalami kejutan budaya gara-gara beberapa gambar 'panas' yang dikongsikannya di media sosial.

"Kita tidak boleh lari daripada kontroversi. Bagi aya sudah bersedia dengan semua itu.

"Sewaktu di AS apabila keluar cerita kontroversi dan negatif yang mengaitkan tentang apa yang saya lakukan sepanjang di sana, bagi saya mungkin ada pihak sengaja mahu menjatuhkan saya.

"Namun, saya tidak terlalu mengambil kisah cerita sebegitu kerana fokus saya pergi ke sana memang mahu menyambung pengajian," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media dan Perfileman, Universiti Western Michigan dan graduan Academy Film New York.

Selain terus mengukuhkan kerjayannya di sini, Jue juga telah mengikat kontrak bersama agesi di Amerika Syarikat. Tetapi buat masa ini belum ada projek yang menuntutnya untuk kembali ke sana.

Bercakap mengenai keputusannya mengembangkan bakat di luar negara, Jue menyatakan dia sedar keterbukaan industri seni di sana.

Namun demikian, sebagai orang Islam dia masih tahu akan kepentingan menjaga sensitiviti jika dia terlibat dengan lakonan mahupun apa-apa pengambaran untuk projek di sana.

"Saya sudah ikat kontrak dengan agensi di sana tetapi buat masa ini belum ada apa-apa projek lagi.

"Saya sedar terutama hal sensitif. Jadi, saya memang ada letakkan syarat sebab apa yang jadi sekalipun, saya masih warganegara Malaysia dan ada budaya dan keluarga di sini.

"Jika memerlukan saya seksi atau adegan atas katil, ia bergantung dan tetap ada hadnya. Saya akan tetap dengan pendirian dan jaga imej saya," katanya yang memberitahu terlibat sama beberapa projek seperti model peragaan, muzik video dan filem pendek ketika di New York dan Los Angelas.

Perkembangan lain, Jue baru selesai dengan penggambaran Tujuh Dimensi Alif dan bakal sibuk pula di lokasi filem Bella dan Jamie.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »