Nur Risteena Tangguh Belajar Kerana Tawaran Berlakon



PETALING JAYA: Pelakon Nur Risteena menjelaskan keputusannya menangguhkan pengajiannya dalam bidang Komunikasi Massa kerana tawaran lakonan yang datang terlalu banyak.

Nur Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 25, berkata, dia juga menyedari tindakannya itu telah menyebabkan segelintir pihak memandang serong terhadapnya dan menganggap dia mengejar glamor.

"Saya pilih untuk utamakan karier lakonan kerana tawaran yang datang begitu banyak dan rasanya sayang untuk menolaknya begitu sahaja.

"Bukan pelajaran itu tidak penting tetapi ini peluang saya untuk mengumpul wang dan membantu keluarga dan tidak ramai yang memahami perkara itu," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, pelakon yang pernah popular menerusi drama Playboy Itu Suami Aku pernah dikatakan tidak bercakap benar kononnya dia adalah lepasan ijazah dalam jurusan Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pelakon itu menjelaskan dia tidak pernah membuat kenyataan tersebut dan menjelaskan dia sebenarnya menangguhkan pengajiannya buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Nur Risteena berkata, pilihannya itu tidak bererti dia tidak mementingkan pelajaran sebaliknya sedang mencari masa sesuai untuk menghabiskan baki dua semester pengajian.

Malah dia merancang untuk menyambung kembali pengajiannya di UiTM secara separuh masa atau menerusi pendidikan jarak jauh yang lebih bersesuaian dengan jadual sebagai pelakon.

Pengorbanan yang saya lakukan itu bukan mudah tetapi ia juga tidak bererti saya tidak berminat untuk menamatkan pengajian dan sedang mencari masa sesuai untuk berbuat demikian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nur Risteena memberitahu dia terkejut apabila mendapat pencalonan menerusi kategori Pelakon Wanita Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Jelasnya, pencalonan itu memberi erti besar kepadanya biarpun tidak mengharapkan sebarang kemenangan pada malam itu nanti.

"Dicalonkan pun sudah buat saya terkejut kerana tidak menyangka akan tersenarai bersama finalis yang lebih berpengalaman daripada saya," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Nur Risteena berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama untuk TV3 selain sedang menunggu tiga filem lakonannya iaitu Girlfriend Kontrak, Anak Mami Nasi Kandaq dan Chowrasta ditayangkan di pawagam tahun ini.

Sumber : MStar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »