Sebab Saiful Apek enggan sertai Maharaja Lawak



PETALING JAYA: Pelawak Saiful Apek memberitahu terpaksa menolak tawaran untuk menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) semata-mata untuk menjaga kedudukannya sebagai pelawak senior di negara ini walaupun pertandingan itu menawarkan hadiah lumayan.

Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 46, berkata, tiada apa yang perlu dibuktikan jika memasuki pertandingan tersebut.

"Setiap tahun saya ditawarkan untuk menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega, namun saya menolak kerana merasai ia sudah tidak penting buat saya. Sebelum ini saya sudah beberapa kali menjadi juri pertandingan Raja Lawak dan kenapa pula saya mahu jadi peserta?

Lagi pula tiada apa lagi hendak di buktikan di pentas tersebut kerana sebelum ini saya sudah memeggang gelaran Artis Komedi Popular selama enam tahun berturut-turut... cukuplah tu," ujarnya kepada mStar Online.

Saiful betkata demikian ketika diminta mengulas tentang pelawak-pelawak senior yang seangkatan dengannya menyertai pertandingan tersebut sebagai salah satu peluang mengembalikan semula nama di arena komedi tanah air.

Malah dikatakan, kumpulannya Senario juga bakal bersaing untuk musim yang akan datang.
Dalam pada itu,  Saiful berkata, dia tidak melihat pentas pertandingan MLM sebagai kayu pengukur kualiti seseorang pelawak.
Katanya, MLM hanya sebuah pentas pertandingan untuk stesen televisyen Astro sahaja dan bukan tontonan seluruh rakyat Malaysia.

"Bagi saya untuk mengukur tahap kualiti seorang pelawak bukan di pentas MLM sahaja kerana ia hanya di pentas Astro dan ia bukan di pentas Malaysia.

"Orang yang melanggan Astro sahaja yang kenal pelawak tersebut, sebaliknya yang tiada stesen tersebut tidak mengenali mereka," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang perbezaan artis komedi sekarang dan dahulu, Saiful mengakui pelawak kini lebih dimanjakan dengan kemewahan wang ringgit berbanding dahulu.

Bagaimanapun, keadaan itu juga membuatkan jangka hayat seseorang pelawak yang dicipta di pentas program realiti itu tidak panjang.

"Sekarang sangat berbeza. Semasa dengan Senario dulu... kami habiskan masa berbulan-bulan untuk buat album hingga ada tujuh buah album dan  konsert sendiri untuk dapat hidup selesa.

"Sekarang buat show lima minit sahaja dah boleh dapat RM500,000. Namun, apa yang saya lihat jika cepat mereka meraih populariti, maka cepat juga akan dilupai," ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang kehidupannya kini, Saiful berkata, dia mengehadkan tawaran yang datang berikutan banyak meluangkan masa bersama keluarga.

Saiful juga memberitahu, dia kini giat melakukan kerja amal dengan memberi ceramah motivasi di sekolah-sekolah.
"Alhamdulillah, hidup saya kini lebih terurus dan memang saya mengehadkan aktiviti saya di televisyen. Tetapi saya banyak buat kerja-kerja di luar seperti jemputan di sekolah-sekolah.

"Mereka jemput saya supaya bagi ceramah tentang kehidupan dan kepentingan keluarga dari sudut pendidikan. Saya rasa puas melakukan perkara itu walaupun tidak dibayar," ujarnya.

Tambah Saiful, tiada apa lagi yang perlu dikejarkan dalam kehidupannya selain menghabiskan masa bersama keluarga dan masyarakat sekeliling.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »