Rangka Terakhir, Terbesar QZ8501 Berjaya Dibawa Naik




JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia akhirnya berjaya menarik keluar bahagian terbesar dan terakhir rangka pesawat AirAsia yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember tahun lalu membunuh kesemua 162 penumpang dan anak kapal.

Serpihan bangkai QZ8501 tersebut, yang paling besar daripada keseluruhan rangka pesawat Airbus A320-216 itu, ditarik keluar dari perairan Selat Karimata dekat wilayah Kalimantan Tengah lewat semalam dan dipindahkan ke atas sebuah kapal.

Bagaimanapun menurut stesen penyiaran rasmi milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia, jurucakap Badan Pencari dan Penyelamat Nasional (Basarnas) mengesahkan tiada mayat yang ditemui dalam operasi pada Jumaat tersebut.




Ekoran penemuan bersejarah itu, pihak berkuasa Indonesia menyatakan, ia bakal menetapkan tarikh akhir operasi mencari selepas satu mesyuarat bersama dengan waris keluarga mangsa-mangsa yang akan diadakan minggu hadapan.

Misi itu sepatutnya berakhir setelah pasukan penyelam Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut pada 12 dan 13 Januari lalu berjaya membawa naik dua kotak hitam dari dalam pesawat dengan pendaftaran badan PK-AXC itu.

Sekitar 103 mayat sudah ditemui sejak pesawat malang AirAsia itu terhempas semasa cuaca ribut dalam penerbangan kontroversi dari Surabaya ke Singapura yang jadual perjalanannya tidak diiktiraf Kementerian Pengangkutan Indonesia. – AFP

Sumber : Mynewshub

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »