KISAH lelaki yang menjadi perempuan atau perempuan yang menjadi lelaki semata-mata ingin mendekati dan rapat dengan perempuan atau lelaki yang diminatinya, bukan kisah baru yang diketengahkan di dalam filem atau pun drama.
Namun yang berbeza adalah bagaimana jalan cerita naskhah itu digarap dan diterjemahkan oleh para pelakon serta pengarahnya.
Begitulah yang dapat penulis gambarkan mengenai filem terbaharu, Coverina.
Filem yang diarahkan oleh adik Ahmad Idham iaitu Khalid Nadzri, merupakan percubaan pertama Khalid dalam bidang pengarahan.
Khalid yang sebelum ini sering membantu Idham di belakang tabir akhirnya diberikan kepercayaan oleh abangnya untuk mengarahkan filem sendiri.
Menampilkan Pekin Ibrahim, Siti Elizad, Cat Farish dan beberapa pelakon tambahan lain, ia membawa penonton melayari kehidupan Kamal, seorang penganggur yang sering membantu temannya Ary di warung burger.
Suatu hari, dia telah tersilap mengisi borang permohonan kerja, sehingga ditemu duga untuk bekerja di sebuah syarikat permotoran milik Rina, yang merupakan seorang anti-lelaki akibat ditinggalkan tunangnya pada hari pernikahan mereka.
Syarat utama untuk dia bekerja di syarikat itu adalah mesti berjantina perempuan. Bagaimanapun semuanya berubah apabila Kamal diterima bekerja di situ sebagai penghantar surat kerana pekerja wanita mereka telah berhenti secara tiba-tiba.
Dari situ, Kamal mula menyukai Rina menerusi pandang pertama dan demi memikat Rina, Kamal menyamar sebagai Kamalia bagi menyelami perasaan Rina.
Namun, cubaannya tidak berkesan dan menyebabkan Rina yang kesunyian ingin kembali menjalin perhubungan dengan bekas kekasihnya.
Seperti yang penulis katakan, biarpun penceritaan filem ini tampak klise, namun pujian harus diberikan kepada Khalid yang berjaya menampilkan jalan cerita santai dan menghiburkan.
Bahkan tidak perlu komedi yang keterlaluan, lakonan bersahaja para pelakon sudah cukup menggeletek hati penonton.
Pendek kata, anda tidak perlu serabut kepala untuk menonton filem ini. Sebaliknya hanya perlu bayar sedikit, masuk ke panggung dan melayan kisah hidup Kamal dari mula hingga akhir.
Malah, Khalid juga tidak menyelitkan apa-apa persoalan dan biarpun segalanya sudah dapat dijangka, namun jangkaan itu tidak terlalu ketara kerana penonton di sulam dengan gelak ketawa.
Dengan menampilkan banyak motor berkuasa tinggi di dalam filem ini, secara tidak langsung akan menarik lebih ramai penonton yang terdiri daripada golongan penunggang berkuasa tinggi ke panggung.
Pekin-Elizad gandingan serasi
Bukan itu sahaja, jika selama ini kita sering menonton Pekin dengan watak serius dan aksi, kali ini di dalam Coverina, anda berpeluang melihat Pekin sebagai 'wanita'.
Ia secara tidak langsung memberi kelainan dalam lakonan dan watak yang pernah dijayakan Pekin. Namun apa yang sama, penghayatan watak dari Pekin tidak pernah mengecewakan.
Begitu juga dengan Siti Elizad yang sudah sekian lama tidak muncul dalam filem dan drama kerana menjaga arwah ibunya yang sakit.
Biarpun sudah lama tidak berlakon, Elizad tetap memberi mutu lakonan dan penghayatan yang baik. Meskipun ia sebuah filem ringkas dan bersahaja, namun komitmen Elizad pada wataknya boleh dipuji.
Pendek kata gandingan Pekin dan Elizad di dalam filem ini amat menjadi dan sesuai dengan perjalanan filem ini.
Jadi, bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan; apa yang terjadi kepada perhubungan Kamalia dan Rina? Juga adakah Kamal akan mengaku dia adalah Kamalia dan adakah Rina akan kembali kepada bekas kekasihnya?
Semua akan diketahui dalamfilem komedi arahan Khalid Nadzri di pawagam.
Sumber : SinarHarian