Tiga tahun di perantauan, Juliana Evans, 25, akhirnya kembali ke tanah air, awal tahun ini. Kembali bersama keluarga membuatkan hilang segala kerinduannya selama ini. Begitu juga rakan yang menjadi tempatnya berkongsi suka duka.
Pelakon pengacara dan model iklan jelita ini akui merindui kehidupan lamanya sepanjang berada di luar negara dan pastinya kepulangan ini dapat menebus rasa itu.
“Betul kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Sehebat mana pun tempat itu, bagi saya tidak boleh dibanding dengan Malaysia.
“Kerinduan terhadap keluarga dan teman rapat tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Saya rindu kedai mamak, roti canai, teh tarik, nasi kandar, nasi lemak dan kuih-muih tradisional.
“Sudah jadi rutin saya dan rakan akan lepak berjam-jam lamanya di kedai mamak. Syok berbual kosong sambil makan nasi kandar dan roti canai. Di sana (Amerika Syarikat) mana nak cari.
Sumber : MyMetro