10 cara mengenali rakyat malaysia

Istimewanya menjadi rakyat Malaysia, anda mudah dikenali di serata dunia melalui gaya percakapan, budaya dan tingkah laku. Bagaimana hendak mengenal sama ada anda seorang rakyat Malaysia? Jika ciri-ciri di bawah menggambarkan diri anda, maka dengan bangganya anda boleh mengatakan, "Ya, saya memang anak Malaysia".

1. Tangan anda berkuasa. 

Hanya dengan mengangkat tangan, kenderaan pastI berhenti dan memberi laluan kepada anda untuk melintas jalan. Selaju mana pun kereta, lori, van atau bas di jalan raya – semuanya mematuhi isyarat "tangan" ini. Lambaian "tangan" juga memudahkan akses kekawasan perumahan yang berpengawal. Malah, di mana-mana jua, "tangan" adalah alat komunikasi yang paling berkuasa.



2. Anda memanggil semua orang sebagai "bos". 

Tetapi bukanlah bermaksud anda bekerja untuk mereka. Sesiapa sahaja yang anda temui, semuanya anda panggil "bos". Peguam, tukang gunting, pelayan restoran - contohnya, "Bos, kuah lebih sikit!" adalah laungan yang biasa didengari di kedai mamak. Satu panggilan yang mesra dan menunjukkan rasa hormat. Begitulah indahnya budaya kita, kesopanan memupuk keharmonian dan persaudaraan.



3. Anda teruja dengan "jualan murah" dan "percuma". 

Sememangnya menjadi sifat orang Malaysia untuk cukup peka dengan berita jualan murah, diskaun hebat dan hadiah percuma. Lebih murah, lebih baik. Kalau percuma, lebih menarik! Sanggup beratur seawal jam 7 pagi untuk jualan murah, sedangkan ke pejabat jam 9 pagi pun berat kak melangkah. Soalan biasa didengar, "Bos, ada diskaun?"

4. Anda menantikan pengumuman cuti umum setiap kali menang acara sukan. 

Setiap kali wira sukan negara bertarung di pentas dunia, setiap kali juga peminat berdebar-debar menantikan keputusannya. Sama ada Piala Thomas, Piala AFF Suzuki, mahupun sukan Olimpik- pengumuman cuti umum yang mengiringi setiap kejayaan sememangnya amat dinantikan. Apabila Dato' Lee Chong Wei memenangi perlawanan akhirnya di Piala Thomas, sorakan anda menggegarkan ruang tamu, dengan harapan esoknya diumumkan cuti sebagai meraikannya!



5. Anda mengakiri ayat anda dengan "lah". 

Bolehlah. Taklah. Jomlah. "Lah" adalah istilah serba guna. Cuaca? "Panas sangatlah." Harga? "Mahal sangatlah." Tidak percaya? "Takkanlah?" Di mana jua, pada bila-bila masa … kalau anda rakyat Malaysia, katakan saja-lah.



6. Anda sanggup memandu berjam-jam lamanya untuk mendapatkan makanan istimewa. Dan jika ke luar negara, makanan tempatanlah yang paling dirindui. 

Anda sanggup memandu ke mana jua biar pun jauh ke Utara. 4 jam ke Pulau Pinang untuk menikmati keenakan nasi kandar asli? Boleh, Bos! Bukankah hidup ini satu perjalanan, dan di penghujungnya pasti ada ganjaran yang menanti. Begitu juga jika merantau - biarpun hujan emas di negara orang, cita rasa Malaysia tetap di hati.



7. Anda gemarkan makanan yang pedas rasanya. 

Bagi rakyat Malaysia, taburan kepingan cili tidak memadai. Kalau ada sambal belacan, cili potong atau cili padi, barulah dikatakan 'pedas'. Tak pedas, tak sah! Bukan untuk masakan tempatan sahaja, apa jua hidangan mesti ada penambah seleranya. Piza atau ayam goreng? Boleh ditambah sos cili. Kami gemarkan makanan yang memenuhi cita rasa, mencabar selera dan menggugat deria. Kepelbagaian makanan umpama lambang keharmonian rakyat Malaysia.



8. Anda gemarkan makanan yang kuat baunya. 

Mm-hm! Anda gemarkan durian, petai, cencaluk, budu dan belacan. Meskipun aromanya mencabar deria, anda tahu keenakannya lebih istimewa! Keenakan yang unik inilah yang kita banggakan sebagai rakyat Malaysia.



9. Ambil gambar dulu, baru makan. 

Pantas sahaja tangan mencapai telefon, merakam gambar hidangan dan berkongsi di Facebook, Twitter atau Instagram. Mestilah beritahu rakan-rakan apa dan di mana kita makan! Kedai mamak, restoran mewah, hidangan Barat, sajian Timur, berseorangan ataupun beramai- ramai – mesti ambil gambar dulu. Jom kongsikan di media sosial betapa seronoknya menikmati makanan kegemaran yang enak menyelerakan.



10. Anda sentiasa lewat sekurang-kurangnya 30 minit untuk sebarang janji temu. 

Sama ada untuk menghadiri mesyuarat di pejabat, majlis perkahwinan ataupun berjumpa rakan di kedai mamak, anda selalunya tiba lewat. Sekurang-kurangnya 30 minit. 'Janji Malaysia', alasan yang biasa diberi. Bukankah anda juga selalu mengatakan, "saya dalam perjalanan", sedangkan anda baru sahaja hendak bertolak?

Berapakah markah anda? Mesti lebih daripada satu, bukan? Menjelang sambutan kemerdekaan negara kita yang ke-57 ini, marilah kita mengingati kembali betapa akrabnya jalinan budaya kita sebagai rakyat Malaysia. Banyak yang kita kongsi bersama. Berkongsi darah yang sama merahnya. Darah yang merupakan nadi kehidupan dan tidak mengira usia, bangsa, bahasa, adat resam mahupun kedudukan dan pangkat.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »