Saya tak gilakan duit pampasan, cuma tolong beritahu di mana suami saya



SUBANG JAYA: Apa lagi tahap simpati yang boleh digambarkan buat isteri seorang mangsa tragedi MH370, Safuan Ramlan apabila suaminya dikatakan terkorban seperti yang diumum Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada Khamis?

Bagi Jalwati Jalil, kata-kata yang diluahkan Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengenai status pesawat MH370 benar-benar mengecewakan.

"Mengapa mereka mengumumkan perkhabaran itu tanpa sebarang pertemuan atau perbincangan dengan keluarga waris MH370? Apakah kami ini hanya tunggul kayu dan tidak ada kena mengena dengan insiden yang penuh misteri ini?

"Pengisytiharan semua penumpang terkorban benar-benar melukakan hati kami. Di mana tanda, apa bukti dan apa sebenarnya yang berlaku benar-benar membuktikan ada sesuatu yang dirahsiakan," katanya selepas sidang media khas waris MH370 di sini semalam.


Sidang media khas waris MH370 meminta deklarasi kematian semua penumpang pesawat malang itu ditarik balik. -Gambar fail


Kata Jalwati, paling menyedihkan ialah pengumuman oleh syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) yang akan memulakan proses pembayaran pampasan kepada waris MH370.

"Kenapa semuanya seperti dirancang dan sudah ada plot-plot yang berlaku dengan cepat.

"Saya tidak gilakan duit pampasan, tidak terlintas langsung mengenai duit atau apa sahaja bayaran. Saya cuma mahu tahu di mana dia (Safuan) berada," jelasnya.

Safuan merupakan seorang daripada 20 pekerja Freescale yang berada di dalam pesawat malang MH370 ketika kejadian pada 8 Mac tahun lalu.

MAS dalam kenyataannya pada Khamis berkata, pihaknya akan memastikan pampasan yang adil dan munasabah dibayar kepada semua 239 penumpang dan anak kapal MH370.


Jalwati dan anaknya, Damia berharap kerajaan mengadakan perbincangan dengan waris penumpang MH370 sebelum melakukan sebarang pengumuman. -Gambar fail


Jalwati, ditemui bersama anaknya Damia yang baru memasuki darjah satu, berkata kerajaan harus meneruskan misi mencari pesawat itu dan sentiasa berhubung dengan waris MH370.

"Tolonglah jangan buat kami begini. Kami menanti dan terus menanti dengan harapan dan pengumuman semalam seolah-olah membunuh harapan kami selama ini," ujarnya.

Pada Khamis, DCA dengan rasminya mengisytiharkan bahawa kehilangan MH370 merupakan satu kemalangan dan kesemua 239 penumpangnya dianggap terkorban.

Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang 40 minit setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 50 rakyat Malaysia.

Sebelum ini, isteri pramugara penerbangan MH370 Mohd Hazrin Hasnan, Intan Maizura Othaman menjelaskan masih menaruh harapan tinggi untuk menanti kepulangan suaminya sama ada masih hidup atau 'sudah tiada lagi'.

Ujarnya, keluarga penumpang dan kru pesawat MH370 sentiasa menanti kepulangan insan tersayang walau apa terjadi kepada mereka.


Sumber : Astro Awani

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »