Mahkamah Perancis mula siasatan jenayah nahas QZ8501



PARIS: Mahkamah Perancis secara rasmi kini memulakan siasatan jenayah ke atas punca nahas pesawat AirAsia Penerbangan QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa bulan lalu di mana ketika itu pembantu juruterbang warganegara itu dikatakan sedang mengemudikan pesawat.

Seorang sumber pejabat kehakiman Paris memaklumkan, seorang hakim akan mengetuai siasatan bagi menentukan sama ada wujud unsur ‘manslaughter’ atau ‘kematian tidak disengajakan’ akibat kemalangan itu yang meragut 162 nyawa.

Penerbangan QZ8501 terhempas ketika cuaca buruk pada 28 Disember lalu dekat Selat Karimata di Laut Jawa ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Singapura.

Setakat ini hanya sejumlah 72 mayat telah ditemui.

Laporan awal Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia yang sedang menganalisis kandungan rakaman data penerbangan pesawat itu berkata, siasatan awal mendapati sebelum nahas, pesawat itu terbang pada kelajuan yang tinggi dalam suasana awan kumulusnimbus yang tebal sehingga menyebabkan alat penggeranya mula berbunyi.

Pasukan penyiasat juga mendapati pembantu juruterbang warga Perancis, Remi Plesel sedang menerbangkan pesawat jenis Airbus A320-200 itu dan bukannya Kapten Iriyanto, bekas juruterbang pesawat pejuang yang mempunyai catatan rekod penerbangan selama 20,000 jam.
Iriyanto ketika itu dipercayai bangun dari kerusi juruterbangnya bagi mematikan alat penggera yang berbunyi itu.

Sementara itu keluarga Plesel di Perancis dilapor memfailkan kes berasingan terhadap syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Indonesia atas dakwaan ‘membahayakan nyawa mereka yang lain’ menggunakan alasan tidak mempunyai kebenaran penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada hari nahas.

“Keluarga Remi Plesel melahirkan rasa gembira di atas siasatan jenayah itu yang diharap dapat mendedahkan perkara sebenar.

“Siasatan akan membolehkan kami bertanyakan soalan yang betul,” kata peguam Eddy Arneton dipetik dari laporan agensi berita negara itu, AFP.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »