Ajal selepas samun

Maran: Dua lelaki tidak sempat menikmati hasil samun apabila terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang daripada mereka terbunuh dalam kejadian di Jalan Kampung Awah, dekat sini, pagi tadi.
Kejadian kira-kira 9.30 pagi itu berlaku apabila dua suspek berusia lingkungan 20 tahun bersenjatakan parang menyamun premis jual beli kelapa sawit di Kampung Umul Luas, dekat sini, dan melarikan wang tunai, jam tangan dan telefon bimbit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Abdul Aziz Majid berkata, kedua-dua suspek yang dipercayai penagih dadah terus melarikan diri ke arah pekan Kampung Awah.
"Namun, kira-kira setengah jam kemudian pemilik premis itu terserempak dengan kedua-dua suspek di pekan berkenaan sebelum bertindak mengejar mereka.
"Suspek melarikan diri ke arah Temerloh namun kira-kira enam kilometer dari pekan Kampung Awah, kereta dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan," katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata, seorang daripada suspek maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan manakala rakannya melarikan diri.


Sumber : HMetro

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »